Perkongsian Part 1


Assalamualaikum..

Untuk entry kali ni, suka untuk saya berkongsikan sedikit pengisian yang saya timba daripada satu kuliah hadis yang disampaikan oleh al-fadhil Ustaz Syarif Mohd Nor di salah sebuah surau di daerah Temerloh.


Kuliah hadis ni membincangkan sebuah buku (EMPAT PULUH HADIS PERISTIWA AKHIR ZAMAN) yang ditulis oleh bekas guru kepada Ustaz Syarif iaitu Ahmad Fahmi ZamZam atau lebih dikenali sebagai Ustaz Abu Ali Al-Banjarii An-Nadwi Al-Maliki.


Buku tersebut menceritakan perihal tanda-tanda kiamat yang sekarang ini telah dan sedang kita rasakan. Mungkin sebahagian besar daripada kita tidak menyedari akan beberapa tanda yang Allah tunjukkan kepada kita bagi memberi signal akan tibanya hari pengakhiran atau lebih senang kalau kite sebut sebagai Hari Kiamat. Debaran jantung dunia sentiasa akan dikejutkan oleh peristiwa-peristiwa ganjil yang akan terjadi dari masa ke semasa.


Di dalam muqaddimah buku tersebut, ada menerangkan bahawa segala bentuk permasalahan dan kekacauan yang dihadapi oleh umat Islam sepanjang zaman, baik yang telah berlaku, sedang berlaku dan yang akan mendatang sebenarnya telah diceritakan, telah diterangkan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW.

Semuanya telah dijelaskan tanpa ada satu pun yang tertinggal. Ianya mengenai cara-cara untuk menghadapi dan menyelesaikan masalah-masalah yang berlaku. Di dalam hal ini, termasuklah permasalahan-permasalahn yang dihadapi oleh umat Islam di akhir zaman, di mana sejak lebih 1400 tahun yang lalu telah pun diterangkan oleh rasulullah SAW kepada umatnya supaya mereka dapat berwaspada, menjaga diri agar tidak terpesong daripada landasan yang Islam anjurkan.


Suka untuk saya berkongsikan sebuah hadis yang dinukilkan di dalam buku tersebut yang mana diriwayatkan oleh Imam Muslim Rahimahullah yang bermaksud:


Daripada Abu Zaid, iaitu Amr bin Akhthab al-Anshari r.a, katanya: “Rasulullah SAW bersembahyang subuh bersama (berjemaah) dengan kami, kemudian beliau terus naik ke atas mimbar dan berkhutbah sehingga sampai masuk waktu sembahyang zohor, kemudian beliau turun dari mimbar dan bersembahyang zohor (bersama kami).

Setelah selesai sembahyang zohor, beliau terus naik lagi ke atas mimbar dan menyambung khutbahnya sampai masuk waktu asar, maka beliau turun dari mimbar dan bersembahyang asar (bersama kami). Setelah selesai sembahyang asar, beliau terus naik ke atas mimbar dan melanjutkan khutbahnya sehingga tenggelam matahari.

Beliau memberitahu kepada kami apa-apa yang telah terjadi dan apa-apa yang bakal terjadi. Maka sesiapa yang terpandai diantara kami, dialah yang paling banyak menghafalnya”


Mana mungkin khatib pada hari ini mampu untuk memberi khutbah sepanjang dan selama itu, dan mana mungkin makmum dapat bertahan selama itu. Khutbah jumaat yang lama pon, berapa ramai yang complain. Alasan takut lambat untuk masuk ke pejabat.


Apa yang nak cerita kat sini, di dalam khutbah Baginda SAW yang panjang itu telah diterangkan hal-hal yang berkaitan dengan makhluk dari mula penciptaannya hingga ke akhir zaman dan perkara-perkara yang berkaitan dengan alam barzakh dan hari kiamat.


Huzaifah al-Yaman berkata, “Terkadang aku terlihat sesuatu yang telah aku lupakan, ,maka kembali ingatanku kepada khutbah Rasulullah SAW, maka aku mengingatinya kembali. Samalah halnya salah sorang kamu yang mengenal semula sahabat yang telah lama hilang dari ingatannya apabila ia bertemu semula dengannya”


Huzaifah al-Yaman cuba menjelaskan bahawa peristiwa yang berlaku di depan matanya pada ketika itu telah pun diceritakan oleh Nabi SAW di dalam khutbah yang disampaikan oleh Baginda SAW. Kalau kita sedar, bahawa satu ketika dulu Nabi SAW ada menyebut bahawa pada masa akan datang, besi akan boleh terbang di langit. Mungkin pada ketika itu para sahabat tidak dapat membayangkan ianya sebuah kapal terbang, jet, roket ataupun helicopter. Banyak lagi peristiwa-peristiwa besar yang Nabi SAW isyaratkan kepada para sahabat yang ianya pasti akan berlaku seperti mana kejayaan umat Islam menguasai kota Constantinople.


Jadi, tak usah lah kita berbesar diri, keras kepala nak menolak hadis, sebab nanti kebinasaan akan menimpa pada diri sendiri. Ramai je orang sekarang yang tidak mempercayai hadis dan makin jauh dengan al-Quran. Tidak hairan bermacam-macam masalah umat yang makin menjadi-jadi sekarang. Padahal, banyak pengajaran dan pedoman yang boleh kita ambil daripada al-quran dan hadis.


Ni nak habaq mai, al-Quran dan Hadis tu adalah pusaka yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW kepada kita. Kita tak akan sesat selama mana berada di atas muka bumi sekiranya kita berpegang teguh kepada kedua-duanya. Al-quran dan hadis sebenarnya pegangan yang tidak luntur dan sumber segala kekuatan serta keterangan yang lengkap dan jelas tentang identity Islam itu sendiri.


Jadi, setakat ini dulu buat kali ini, inshaAllah sambungan seterusnya akan menyusul selepas ini. Doakan moga ilmu ini dapat dikongsikan bersama.

Wassalam

syauki ilaika, Thurs,

No comments:

Post a Comment