Dr Sanaa', Doktor pakar dan Pendakwah

Dr Sanaa' Abu Zaid


Menyeru manusia pada jalan Allah bukanlah satu tugas atau peranan yang dikhususkan kepada golongan bernama ustaz, ustazah, pensyarah, lebai dan sebagainya, tetapi ia dipertanggungjawabkan ke atas seluruh umat islam.
Inilah yang cuba difahamkan oleh pengasas Gerakan Ikhwan Muslimin, Imam Syahid Hasan al-Banna kepada seluruh umat islam walau di mana mereka berada. Almarhum melakukan pengemblengan tenaga oleh pelbagai individu untuk berada dalam satu saf bagi merealisasikan tuntutan sebaik-baik umat untuk menjalankan progran amar makruf nahi mungkar.


Demikianlah sahutan yang dibuat oleh Dr. Sanaa' Abu Zaid, salah seorang anggota Ikhwan Muslimin yang memilih jalan akhirat dalam perjuangan hidupnya, bersusah-susah untuk memastikan agar ramai manusia menerima islam sebagai cara hidup sempurna. Sedangkan bagi orang lain, gelaran doktor perubatan boleh membuat duit, samada menerima bayaran gaji atau pun membuka klinik peribadi yang boleh mendatangkan pendapatan lumayan.


Dr Sanaa' Abu Zaid dilahirkan pada 10 Safar 1371H/ 9 November 1951M di Kampung Kufr an-Nikman dalam Mukim Maiyit Ghamr wilayah ad-Daqahliyyah. Beliau mendapat pendidikan awal di kampungnya dan juga peringkat menengah dan menyambung pelajaran di Fakulti Perubatan dan Pembedahan Universiti Qasr al-Aini Kaherah tahun akhir pada 1976 dengan mendapat keputusan yang cemerlang. Pada tahun 1981, beliau menyambung pelajaran ke peringkat MA dalam bidang Perubatan Kanak-Kanak di Universiti Kaherah. Beliau berkahwin dengan Dr Samihah Khalil Hasan dan dikurniakn 6 orang anak. Isterinya meninggal dunia akibat sakit, kemudian beliau berkahwin pula dengan Nadiah Faruq dan dianugerahkan 3 orang cahaya mata.


Dr Sanaa' menjadikan tugas menyeru manusia ke jalan Allah (tugas dakwah) adalah yang pertama setelah selesai menamatkan pengajiannya. walupun mendapat tawaran pekerjaan di Kementerian Kesihatan Mesir dengan pendapatan lumayan sebagai doktor pakar kanak-kanak dan pembedahan, beliau tidak memikirkan mengenainya, malah memfokuskan kecenderungan kepada arena dakwah secara serius.


Sebagai perkara rutin dalam agenda harian Dr Sanaa', beliau menghubungkan diri kepada Allah SWT sebelum memulakan apa jua tugas dan pekerjaan pada waktu pagi. Setelah selesai solat subuh, beliau akan duduk untuk beberapa ketika bagi menghabiskan pembacaan al-Quran, berzikir Mathurat, solat dhuha dan lain-lain sebagai memohon restu dan izin Allah agar menerima segala apa yang dilakukan pada hari itu. Ia juga amalan yang dilakukan oleh baginda rasulullah SAW iaitu bertemu dengan dengan Allah terlebih dahulu sebelum berurusan dengan manusia. Pada malam pula bermunajat kepada Allah agar diberi kekuatan untuk melaksanakan tugas sebagai muslim yang menyeru manusia ke jalan Allah.


Dr Sanaa' adalah golongan doktor terawal yang pernah bertugas di Persatuan Perubatan Islam dan pengasas cawangan tersebut di daerah Sayidatina Zainab, Kaherah dan terlibat secara sukarela mengajar subjek sains di sebuah sekolah rakyat khususnya untuk anak-anak pinggir bandar yang miskin tanpa bayaran diberikan kepadanya kerana sekolah berkenaan amat memerlukan guru yang ikhlas.


Menurut isteri, beliau seorang suami yang taat pada perintah-perintah Allah. Tambahannya lagi, suamimya bukan sahaja seorang bapa kepada anak-anak, malahan juga sebagai motivator, pendidik atau saudara yang banyak memberi motivasi untuk hidup bersama islam. Dr Sanaa' juga amat menitikberatkan ketepatan menunaikan janji, pada masa yang sama menjaga kepentingan para pesakit dibawah pengawasannya dengan sebaik-baiknya. Disamping berdakwah peda mereka betapa Allah SWT yang mencipta sakit dan Dia juga yang menyembuhkan penyakit, itulah kata-kata yang sering dilontarkan kepada pesakitnya bahawa hidup dan mati adalah ujian daripada Allah, hidup mesti berbakti untuk menegakkan syiar agama-NYA.


Diharap kita dapat mengambil pengajaran , contoh dan iktibar dari kisah hidup seorang hamba yang ikhlas mengabdikan diri pada Allah dalam meneruskan kerja dakwah yang pernah dilakukan oleh junjungan besar nabi Muhammad SAW. Kerja dakwah bukan hanya dikhususkan kepada golongan seperti ustaz dan ustazah, malahan ia diwajibkan kepada semua umat Muhammad SAW. Marilah kita sama-sama menghidupkan islam di dalam diri kita dahulu sebelum kita berusaha ke arah memperkasakan islam di negara kita.

Sumber: keratan Harakah keluaran 22-24 Mei 2009 (Ustaz Zainudin Hashim)

No comments:

Post a Comment